Sunday, November 9, 2008

KESUDAHAN ALAM

Oleh kerana alam ini ada permulaannya, maka akal waras pasti mengatakan bahawa akan tiba pada suatu masanya nanti ia akan menemui pengakhirannya. Yang dimaksudkan pengakhiran alam ini ialah berlakunya kehancuran alam semesta yang mana dalam ajaran Islam ianya disebut sebagai hari kesudahan atau hari kiamat.
Berdasarkan adanya sifat pengembangan kepada alam semesta ini, sains menyakini bahawa proses pengembangan ini akan terhenti dan alam ini akan berada dalam keadaan pegun buat seketika sebelum mengalami proses pengecutan semula. Pada mulanya proses pengecutan ianya berlaku dengan sangat perlahan dan kadarnya akan bertambah mengikut masa. Galaksi yang pada mulanya bergerak arah keluar, akan mula bertukar arah menjadi sebaliknya iaitu hala ke dalam. Dalam gerakan ini galaksi akan bertembung sesama sendiri kerana kehilangan daya keseimbangan dan graviti. Ini bermakna akhirnya ia kembali kepada asalnya, iaitu kurang daripada ruang sebiji atom. Pada waktu ini ruang dan masa juga akan lebur bersepai menjadi “tunggalan”.

Tepat sepetimana Allah menyebut dalam Quran:

“Pada hari Kami gulung langit sebagai menggulung lembaran-lembaran kertas. Sebagaimana Kami memulakan penciptaan pertama begitulah Kami akan mengulanginya. Itulah satu janji yang pasti Kami tepati, sesungguhnya Kamilah yang akan melaksanakannya”. [Al-Anbiya’ 21:104].
Ramai ahli fizik percaya bahawa Big Crunch mewakili akhiran kepada alam semesta, sepertimana mereka percaya bahawa Big Bang adalah permulaan alam semesta. Unsur asas alam semesta ini iaitu masa, ruang dan jirim wujud dengan Big Bang melalui proses ledakan keluar dan akan hilang daripada kewujudan dengan Big Crunch melalui proses musnahabisan..

Bilakah hari kehancuran ini akan berlaku?. Tiada seorang manusia yang mengetahuinya. Ia ada dalam ilmu Allah. Bagaimanapun saintis dan astronomer cuba membuat ramalannya dan menyatakan bahawa akhiran alam semesta ini akan tiba kira-kira enam ribu juta tahun lagi.

Persoalannya di sini bukannya dari sudut bila masa berlakunya, kerana ramalan tidak menjanjikan satu ketepatan, apa yang hendak diketengahkan ialah soal sains moden kini menerima kepastian bahawa alam semesta ini akan hancur dan ini telahpun diungkapkan oleh Quran sejak ribuan tahun dahulu menerusi wahyu yang disampaikan kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Sains meramalkan terdapat lima kemungkinan bagaimana alam semesta ini boleh hancur:

1. Matahai meletup dan bumi musnah dalam lautan api yang sangat panas.
2. Matahari tidak berfungsi atau padam sama sekali, hingga bumi menjadi sebiji bola yang dilitupi ais.
3. Berkemungkinan satu bintang yang besar akan bertembung dengan matahari yang akan melibatkan kehancuran bumi juga.
4. Kemungkinan adanya bintang berekor jatuh ke bumi dengan kedahsyatan yang amat sangat hingga bumi hancur.
5. Jarak bumi dengan bulan begitu mendekat sehingga menimbulkan gelombang air pasang yang dahsyat disertai letusan hebat gunung berapi.

Sehubungan dengan lenyap dan berakhirnya bumi, Prof. Mazlan Othman menulis:

“ Kita telah meramalkan bahawa lima ribu juta tahun dari sekarang , matahari akan kehabisan Hidrogen untuk dibakar. Pada waktu itu, ia akan berkembang menjadi raksasa merah dan akan menelan planet-planet, termasuk bumi dan mungkin juga Musytari. Seorang penghuni pada masa itu akan melihat matahari semakin besar di langit. Haba matahari akan menyejatkan segala air yang ada di muka bumi, meninggalkan keadaan yang kontang dan segala tumbuhan akan mati. Semua kehidupan akan berakhir. Sekiranya ada pun kehidupan yang dapat bertahan, lama kelamaan akan menghadapi masalah juga kerana kita ketahui bahawa matahari akan bertukar daripada bentuk raksasa menjadi kerdil putih, satu objek sebesar planet yang tidak lagi berupaya menjanakan tenaga dan tidak lagi mampu mengeluarkan cahaya. Kehidupan akan pupus jua kerana kerana tidak ada sumber tenaga untuk membenarkannya meneruskan kewujudannya”. [Mazlan Othman, Kedinamikan Cosmos, hlmn. 42-43].

Pada 30 Disember 1976, BBC pernah membuat laporan bahawa adanya penurunan kepada kadar daya graviti bumi. Galaksi Milky Way akan dihujani dengan 100 milyar bintang dan pada waktu itu akan berlaku kehancuran yang amat dahsyat. Saintis juga meramalkan galaksi yang berada di dalam alam semesta ini akan meledak antaranya yang bernama Crab Nebula yang kadar kekuatannya 1000,000,000,000,000,000,000,000 kali ganda bom nuklear.
Apakah ramalan ini benar?. Quran menyebut: “ dan apabila bintang-bintang berjatuhan” [Al-Takwir 81:2]

Monday, October 27, 2008

SIFAT DAN LAKUAN ALAM SEMESTA






















Alam semesta sejak ia diciptakan oleh Allah, memiliki sifat-sifat yang tertakluk sebagai makhluk. Antara sifat serta lakuan tersebut ialah:

1. Sentiasa berkembang

Semenjak berlakunya letusan pertama hingga menimbulkan planet-planet yang banyak di alam semesta ini, jasad-jasad kelangitan itu sentiasa bergerak meredahi ruang angkasa raya dan saling menjauh antara satu sama lain. Bagaimanapun pada masa sekarang kadar gerakan mengembang itu telah menurun. Zakaria Awang Soh yang memetik pandangan Novikov[1983], Zelik[1985], Geik[1986] dan Rashid Bakar[1987] menyebut;

Bukti sains yang dikemukakan berkaitan dengan perkara ini ialah pada masa ini alam semesta sedang mengembang tetapi kadarnya sedang menurun dengan mantap kerana gravity telah menghadkan penyerakan galaksi. Oleh itu pada suatu hari nanti pengembangan ini akan terhenti dan akan berlaku perubahan lakuan daripada mengembang kepada mengecut. Perubahan ini ada kaitan dengan bahan yang tidak dapat dilihat seperti neutrino dan lubang hitam (Black Holes), dan juga tenaga yang tidak dapat dilihat seperti gelombang graviti.”

Cerapan yang dibuat oleh Hubble dan Humason, mendapati bahawa semakin jauh sesuatu galaksi dari galaksi Milky Way semakin laju ia terbang menjauhinya. Pada tahun 1929, Hubble mengisytiharkan bahawa keseluruhan alam semesta yang dapat dilihat yang terdiri daripada juta galaksi adalah tidak stabil, tetapi mengembang secara seragam kesemua arah.

Prof. Mazlan Othman menyebut; “pada tahun 1929 pakar Astronomi Edwin Hubble, orang pertama yang menjumpai galaksi, telah memperolehi data yang menunjukkan galaksi bergerak pantas menjauhi bumi. Dengan penemuan ini, gagasan alam semesta telah bertukar daripada suatu yang ststik kepada suatu yang dinamik” [Mazlan Othman, Kedinamikan kosmos Iota ke Infiniti, Penerbit UKM Bangui, 1996, hlmn.10] Boleh dikatakan hampir semua galaksi bergerak menjauhi Milky Way kecuali galaksi Andrómeda dan beberapa sistem galaksi yang berhampiran dengan galaksi Milky Way yang tergolong dalam ‘Local Cluster’ yang menghampiri Milky Way. Galaksi Andrómeda yang letaknya lebih kurang 2.7 juta tahun cahaya dari Milky Way bergerak mendekati Milky Way dengan kelajuan 50 km/saat. Ini bermakna satu ketika nanti galaksi ini akan merempuhi Milky Way.

Gugusan Virgo yang mengandungi beberapa ribu galaksi yang dianggarkan terletak lebih kurang 50 juta tahun cahaya daripada galaksi kita, bergerak menjauhi Milky Way dengan kelajuan 1200 km/saat. Manakala kelompok Corona Borealis yang jaraknya 940 juta tahun cahaya bergerak menjauhi Milky Way selaju kurang lebih 21,440 km/saat.

Gugusan Virgo













Gugusan galaksi yang lebih jauh iaitu Bootes, yang terletak kira-kira 1.7 ribu juta (billion) tahun cahaya dari galaksi Milky Way menjauhi selaju 39,000 km/saat. Kelompok Hydra yang memiliki jarak 2.7 ribu juta tahun cahaya bergerak dengan kadar 61,000 km/saat. Berdasarkan pemerhatian yang dijelaskan, kadar pergerakan menjauhi semakin tinggi dengan bertambahnya jarak.

Mohd Khir seorang pakar astronomi Malaysia menyebut bahawa pada masa ini bumi kita telak teranjak dari kedudukannya 24.5 darjah, 4000 tahun yang lalu kepada kedudukan sekarang 23.42 darjah. Ini menunjukkan bahawa jarak antara bumi dan matahari semakin bertambah. Begitu juga dengan jarak antara bulan dan matahari. Penemuan lain berkenaan dengan penambahan jarak (pengembangan) ialah antara bulan dengan bumi. Jean Dickey, Ketua Geodetic Application Group dari makmal Jet Propulsión NASA, menyebut: “ We know that the moon is moving Hawai from the Herat at about an inch and half [3.8 cm] a year and we know that quite accurately that’s pretty exciting. While Scientist and poets alike need not fear the moon is getting out of Earth’s orbit, the two planetary bodies definitely are moving apart, resulting long range changes in Earth’s rotation” [Malay mail, 19 Julai,1989, dalam Z.A.Soh, Opcit, hlmn. 142]

2. Sentiasa Berputar

Jasad-jasad kelangitan yang diciptakan ini sentiasa berputar. Prinsip putaran ini merupakan prinsip yang ada pada setiap yang wujud. Kejadian yang paling kecil iaitu atom sifatnya sentiasa berputar. Begitu juga putaran berlaku kepada ciptaan yang lebih besar iaitu bintang-bintang dan cakrawala yang ada di ruang alam semesta ini. Ia merupakan sifat kejadian alam semesta yang ditentukan oleh penciptanya.

Terdapat tiga gerakan putaran serentak dalam galaksi Milky Way:

1. Planet, satelit dan segala bintang yang ada dalam sistem ini berputar pada paksi masing-masing. Bumi misalnya, berputar pada paksinya dengan kadar kelajuan 1700 km atau 1050 batu sejam. Hal ini menghasilkan pertukaran siang dan malam.

2. Keseluruhan bintang dalam sistem suria beredar mengelilingi matahari. Bumi misalnya beredar mengelilingi matahari pada kadar halaju 30 km/saat dan mengambil masa 365.3 hari untuk melengkapkan satu edaran. Ini menghasilkan musim dan tahun.

3. Sistem suria itu sendiri sebagai satu entity dan berjuta-juta sistem lain yang sama dengannya beredar mengelilingi pusat galaksi Milky Way. Dalam gerakan ini Sistem Suria mengambil masa 250 juta tahun untuk menyelesaikan satu edaran lengkap.

Secara umumnya ketiga-tiga tahap pusingan ini berlaku secara mengiri, menyamai pusingan orang-orang Islam yang mengelilingi di Baitullah di Mekah ketika mengerjakan ibadat Haji atau Umrah (tawaf).

3. Rapi dan Sempurna

Alam ini diciptakan oleh Allah cukup rapi dan sempurna. Kerapian dan kesmpurnaannya merujuk kepada keadaannya yang tidak cacat pada bentuk kejadian dan kewujudannya. Allah menyebut dalam firmanNya:

“[Allah] yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan tuhan Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang kali, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang?. Kemudian pandanglah sekali lagi nescaya penglihatanmu akan kembali kepada mu dengan tidak menemukan sesuatu cacat dan penglihatanmu itupun dalam keadaan payah”. [Al-Mulk 67: 3-4]

Pernyataan “Kesempurnaan ciptaan” ini bukanlah merujuk khusus kepada keadaan purata, lakuan umum dan letakkan nisbi di alam ini. Sebagai contohnya matahari, pancaran sinarannya panas dan tahap kepanasannya tidak sama meskipun pada tempat yang sama. Begitu juga waktu terbitnya di sébelah timur pada waktu pagi, daripada sudut terbitnya matahari ini tidak sama antara satu musim dengan musim yang lain.

Kesempurnaan itu juga merujuk kepada tidak adanya kesilapan kepada ciptaan alam semesta yang luas ini. Meskipun begitu banyak planet-planet di angkasa raya, tiada berlaku perlanggaran diantara satu dengan yang lainnya.

Sepanjang kehidupan ini tidak pernah berlaku kesilapan hingga matahari tidak pernah muncul pada waktu pagi. Tidak pernah terjadi bekalan oksigen dalam dunia ini berkurangan. Begitu juga tidak pernah berlaku kesilapan dalam proses-proses alami lainnya seperti hujan naik ke langit. Secara tegas dan nyata dapat disimpulkan bahawa seluruh makhluk yang ada di alam ini berada dalam satu sistem yang rapi lagi sempurna. Ia memperlihatkan kesempurnaan penciptanya yang Maha Sempurna.

4. Saling Harmoni Antara Sesama Alam
Alam ciptaan Allah ini saling harmoni antara satu entiti alam dengan entiti alam yang lain. Keseluruhan alam ini tidak ada percanggahan dari sudut kejadiannya yang saling memberi manfaat kepada alam lain. Sebagai contohnya manusia memerlukan oksigen untuk bekalan pernafasannya dan pada waktu proses tersebut berlaku manusia mengeluarkan karbón dioksida. Tumbuhan pula memerlukan karbón dioksida untuk proses pembikinan makanannya dan mengeluarkan oksigen. Jadi bahan buangan daripada manusia diperlukan oleh tumbuhan manakala bahan buangan tumbuhan diperlukan oleh manusia. Proses ini berulang dan saling melengkapi antara satu dengan yang lain. Kiranya tidak berlaku keharmonian antara alam ini nescaya pincanglah perjalanannya dan manusia akan mati lantaran keperluan asasnya utuk bernafas kehabisan bekalan.

Allah menyebut dengan lebih lanjut dalam surah Al-Naml 16: 5-18, Segala yang ada dalam alam ini yang terdiri daripada binatang, tumbuhan, lautan dan bahkan segala-galanya untuk kegunaan manusia. Oleh itu sayugianyalah manusia menyedari nikmat Allah yang besar ini untuk tunduk dan patuh kepada-Nya.

Sunday, October 19, 2008

TEORI KEJADIAN ALAM




KEJADIAN ALAM DAN TEORI-TEORI MENGENAINYA

Apabila ditetapkan yang alam semesta ini bermula, bermakna sebelum daripada masa tersebut alam semesta ini tidak ada. Daripada tidak ada, alam ini kemudiannya diadakan oleh Allah Al-Khaliq. Persoalannya kini bagaimana alam ini bermula dan keadaan seperti yang kita alami Sekarang? Dua jawapan yang dikemukan oleh para pengkaji:

1. Teori Kejadian Alam
2. Kejadian Alam menurut Al- Quran

Teori Kejadian Alam

Tedapat banyak teori – teori yang muncul semenjak abad ke 17 lagi dan hingga kini manusia masih lagi mencari hakikat sebenarnya tentang asal usul mula alam ini, antaranya ialah:

1. Teori Kant-Laplace

Teori ini dikemukakan sekitar pertengahan abad ke-18 oleh Kant dan Laplace mengemukakannya pada akhir kurun ke-18. Menurut teori ini alam berasal daripada Kabus berupa bola raksasa. Suhu yang ada pada bola raksasa ini tersangat panas dan ia berputar mengelilingi matahari. Akhirnya ia menjadi dingin dan membeku. Ini membuatkan putarannya lebih cepat lalu membentuk cembung. Pembentukan ini menyebabkannya terlepas dari daya tarik pusat lalu membentuk ‘cincin’ dan akhirnya patah lalu membentuk planet-planet yang ada sementara Kabus induknya menjadi matahari.

2. Teori Chamberlain dan Moulton (Teori Kabus pilin)

Teori ini beranggapan bahawa sistem matahari pada satu masa dahulu berupa Kabus yang berpilin. Ia terdiri dari kumpulan benda-benda yang padat lagi kecil yang dinamakan sebagai planetesimal. Suhu pada benda tersebut dingin. Bagaimanapun lantaran terjadinya perlanggaran antara satu sama lain ia berubah menjadi panas dan kesan daripada perlanggaran itu, terjadinya putaran. Pada masa yang sama berlaku pula penggabungan terhadap benda-benda itu berdasarkan hukum Newton dan akhirnya terbentuk sistem suria kita. Matahari terletak di pusat Kabus pilin, sementara sembilan planet yang lain mengelilinginya.. Pada waktu itu bumi masih berupa gumpalan kecil ia bersuhu dingin dan setelah mengalami perlanggaran keadaannya semakin panas. Air yang terdapat pada planetesimal itu mengewap dan lantaran adanya daya tarikan bumi ia ditarik kembali bagi membentuk atmosfera bumi.

3. Teori Jeans & Jefferys

Dua orang sarjana British ini mengumukakan teorinya yang dikenali sebagai teori pasang.
Teori ini beranggapan bahawa pada mulanya alam ini, Matahari dan palnet-planet yang lain hanya satu gumpalan sahaja. Kemudian terjadi satu benda angkasa yang besar mendekati gumpalan tersebut dan terjadilah daya tarik menarik sesuai dengan hukum Newton. Daya tarikan itu menyebabkan sebahagian daripada gumpalan yang besar itu terpisah, maka terbentuklah planet-planet.

4. Teori O. Smith

Teori ini beranggapan bahawa kelompok benda-benda langit yang ada dalam sistem suria ini pada suatu masa dahulu berupa debu. Matahari yang merupakan gumpalan dalam galaksi itu menarik sebahagian debu-debu itu. Gerakan yang terjadi tidak teratur dan menghasilkan gerakan yang membentur. Daripada benturan itu pula sering terjadi perlanggaran dan bahagian yang lebih besar menarik bahagian yang lebih kecil sehingga terjadinya planet-planet. Benturan yang terjadi itu akhirnya membentuk putaran atas paksinya sendiri dan disamping adanya daya tarikan matahari, terjadilah gerakan planet-planet itu mengelilingi matahari.

5. Teori ‘Steady State’

Juga dikenali sebagai Teori Keadaan Tunak. Teori ini beranggapan bahawa alam semesta ini sudah ada selamanya dalam susunan yang seperti yang ada sekarang ini dan zat-zatnya terus menerus terbentuk. Alam ini menurut mereka adalah ciptaan yang selanjar yang bermaksud yang sentiasa berkembang dan jirim-jirim baru terbentuk sepanjang masa untuk menstabilkan kemampatannya. Bagi para pendokong teori ini, mereka beranggapan alam semesta ini tidak mempunyai permulaan dan tidak ada akhiranya. Teori ini diperkenalkan oleh Herman Bondi, Thomas Gold dan Fred Hoyle sekitar tahun 1948.

6. Teori Ayunan (Oscillating Theory)

Mengutarakan bahawa alam semesta ini tetap dalam keadaan mengembang dan mengecil dalam jangkaan masa ribuan juta tahun. Tetapi teori ini tidak menyentuh tentang bagaimana terbentuknya ala mini sebaliknya menyebut perihal lakuan alam semesta setelah ia tercipta.

7. Teori Letupan besar (Big bang Theory)

Dikemukan oleh George Gamow. Teori ini beranggapan bahawa alam semesta ini bermula dengan berlakunya ledakan yang maha besar melalui sebuah Bola api. Bola api ini bersaiz lebih kecil dari atom tetapi mempunyai suhu yang amat tinggi sehingga jutaan kali lebih panas daripada matahari. Ledakan tersebut disebabkan terdapat tenaga yang terpendam di dalamnya.
Setelah terjadi ledakan besar ini, terjadi peningkatan yang amat tinggi kepada suhu dan kepadatan alam semesta. Serpihan serpihan yang bertaburan itu berterbangan dan bertaburan kesemua arah dari titik singular dengan kelajuan menghampiri halaju cahaya. Bahan-bahan ledakan yang mempunyai suhu jutaan trilion darjah Celsius itu berupa campuran jirim dan bukan jirim yang mengembang.
Setelah 0.001 saat, atom pecahan tadi mula membentuk proton dan neutron yang sangat tinggi suhunya dan dalam jangkamasa tiga minit hinggá 300 000 tahun setelah ledakan pertama terjadi, proton dan neutron membentuk atom dari Nitrogen dan Helium dibentuk lalu membentuk struktur kosmik yang berupa gas. Setelah 500 juta tahun, gas tadi mula membentuk cakrawala. 10.5 bilion tahun kemudian terbentuk pula solar sistem dan bumi yang merupakan tempat kehidupan pertama setelah 11 billion tahun.
Teori ini dikembangkan oleh Edwin Hubble setelah mendapat ilham dari teori yang dikemukakan oleh Gamow, pada tahun 1929. Andaian ini dibuat oleh Hubble selaku Astronomer setelah beliau mengamati bintang-bintang dan galaksi-galaksi yang sifatnya sedang bergerak saling menjauhi bumi seperti serpihan yang sedang berterbangan setelah berlakunya satu ledakan persis sebutir bom.

Zakaria Awang Soh menulis berhubung dengan asal mula alam semesta ini bermula daripada satu bahan yang tunggal dan homogen iaitu sama dengan bahan kamilan padu yang dinyatakan dalam Surah Al-Anbiya ayat 30. bahan ini mempunyai keamatan yang amat tinggi dan tidak terhingga. Asimov [1982] menyatakan: “ pada tahun 1927, ahli matematik Belgium Abbe Georges Edouard Lemaitre menyarankan bahawa semua jirim asalnya datang daripada satu telur cosmos yang mempunyai kepadatan yang amat sangat, yang meledak dan melahirkan alam semesta yang kita ketahui pada hari ini.
Teori Big Bang ini tidak dipersetujui oleh ramai saintis. Mereka mempersoalkan jika ada letupan mesti ada kesan radiasinya?. Pada tahun 1992, NASA telah melancarkan sensor yang sangat peka COBE ke ruang angkasa bertujuan mencari kesan tersebut dan ia berjaya menangkap beberapa gambar bukti bahawa wujudnya ksan radiasi tersebut dan telah menafikan teori-teori sebelum ini. Penemuan terbaru ini merupakan penjelasan secara ilmiah bagi fakta bahawa alam semesta ini terjadi dari asal ketiadaan. Fakta yang baru ditemui ini sebenarnya telah dikhabarkan kepada kita 1400 tahun lampau di dalam Al-Quran. Jawapan tepat hanya pada Pencipta-Nya iaitu Allah.

“ Dan tidakkah orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum [sebagai benda yang satu], lalu kami pisahkan antara keduanya?. Dan kami jadikan dari air tiap-tiap benda yang hidup. Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?”. Al-Quran 21:30 (Surah Al-Anbiya)

“[Ingatlah] pada hari Kami menggulung langit seperti menggulung lembaran kertas. Sebagaimana Kami memulai penciptaan pertama, begitulah kami akan ulangi wujudnya lagi; sebagai satu janji yang ditanggung oleh kami, sesungguhnya Kami tetap melaksanakannya.” Surah Al-Anbiya’ ayat 104.

“Aku tidak menghadirkan mereka untuk menyaksikan penciptaan langit dan bumi dan tidak pula penciptaan diri mereka, dan tidaklah Aku mengambil orang-orang sesat itu sebagai pembantu.” Surah Al-Kahfi ayat 51



ALAM SEMESTA MENURUT QURAN

Quran secara explicit menyatakan bahawa alam semesta ini dijadikan oleh Allah Taala. Ayat Quran Surah Al-Sajdah ayat 4 menyebut:

“ Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy”.

Konsep hari yang disebut dalam ayat di atas sebanyak enam tidak merujuk kepada hari seperti yang difahami oleh kita pada hari ini. Ia merujuk kepada hari yang sesuai dengan masa mula alam ini terjadi dan berakhir dalam ketentuannya yan tersendiri. Hal ini dijelaskan oleh Syeikh Fadhlalla Haeri seperti berikut: “ Yawn is a day, a day is a sequence in time that has a beginning and an end and has it own particular characteristics. A day from the Quranic point of view is a period of a different states. The morning is different from the afternoon and the beginning is different from the end.”

S.A. Mabud menegaskan bahawa konsep enam hari [sittati ayyam] yang di sebut dalam ayat di atas merujuk kepada hari dan masa di sisi Allah Taala, bukannya seperti fahaman kita hari ini. Ia boleh jadi lama dan boleh jadi singkat.

Benarlah ketika Allah menyebut dalam firman-Nya. “ Kemudian Dia menuju kepada penciptaan langit dan langit ketika itu masih merupakan asap..” [ Fussilat 41:11].



Istilah ‘dukhan’ merujuk kepada sesuatu yang terhasil berupa asap, Kabus ataupun gas. Jadi ayat di atas antara lain memberi penjelasan tentang asal langit itu berupa asap atau gas. Daripada bahan-bahan inilah terbentuknya langit dan kemudiannya di pisahkan. Ayat Quran 21: 3 menyebut:
“ Tidakkah orang-orang kafir itu mengetahui bahawa langit-langit dan bumi asalnya satu gumpalan, lalu kami pisahkan antara keduanya, dan kami jadikan dari air itu segala sesuatu yang hidup, apakah mereka tidak beriman?”.

Menurut ayat di atas, semua zat benda yang ada di bumi dan di langit [matahari, bulan, planet-planet serta bintang-bintang] semuanya berasal dari satu benda, kemudian dipisahkan ole Allah lalu menjadi benda-benda cosmos. Ini juga membawa erti bahawa bahan-bahan asas yang ada di alam ini mengandungi unsur-unsur yang sama. [A.R. Syahab, Assamawaat, penerbit C.V. karunia,1977, hlm. 107.] Perbezaan yang berlaku adalah setelah bahan-bahan asas itu bertindak balas dalam masa yang lama dan berubah menurut kesesuaian tempatnya tanpa menghilangkan bahan asasnya sama sekali.

Kenyataan ayat di atas di sokong oleh penemuan saintifik sejak akhir-akhir ini. Prof. Yoshida Kozai, Pengarah Kaji Bintang di Tokyo mengungkapkan bahawa langit berasal daripada asap [dukhan]. Fenomena ini sudah dilihat kini dengan adanya satelit dan kapal angkasa yang dilancarkan untuk mengambil gambar-gambar tersebut secara lebih dekat. Daripada gambar sebuah bintang di langit ketika dalam proses dalam pembentukannya, terdapat di tengah-tengahnya asap yang menjadi bahagian bersinar daripada bintang tersebut. Di sekeliling bintang tersebut terdapat asap dan mengitari asap tersebut terdapat pula garis merah sebagai penunjuk bahawa suhu di situ sangat tinggi. Sebelumnya saintis menduga bahawa lagit berasal dari kabus tebal. Andaian tersebut tertolak sebab kerana sifat kabus adalah dingin dan beku sementara sifat asap adalah panas dan bergerak. Profesor ini terkejut apabila dihujahkan kepadanya bahawa kenyataan tersebut telahpun diungkapkan oleh Quran sejak lebih 1400 tahun lalu.

Peristiwa yang sama berlaku kepada Dr. Astrokh salah seorang pakar daripada NASA. Beliau berkata: “Kami telah melakukan banyak percubaan terhadap logam-logam yang ada di bumi. Tetapi satu-satunya logam yang membingungkan saintis sehingga kini ialah besi. Sifat kimianya memiliki ciri khusus. Untuk menyatukan atom elektron dan proton yang terdapat pada besi itu memerlukan kekuatan yang dahsyat yang mencapai 4 kali kekuatan yang ada pada panas matahari. Oleh kerana itu tidak mungkin besi tercipta di bumi, dan pasti memerlukan unsur asing yang datang ke bumi”. Apabila dibacakan kepadanya ayat Quran: “ Dan Kami turunkan besi yang ada padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia”. Surah Al-Hadid 57:25. Beliau berkomentar, “Kalimah ini tidak mungkin berasal dari ucapan manusia”.

Friday, October 10, 2008

kosmologi Dari Perspektif Quran dan Sains


Membincangkan konsep kosmologi menurut perspektif Quran dan Sains Moden, beberapa teori mengenai kejadian alam, konsep alam menurut Quran, matlamat penciptaan alam dan kesudahan alam semesta menurut sains serta Quran.

PENDAHULUAN

“Segala puji bagi Allah Rabb Semesta alam” Quran: Al-Fatihah 1:1

Kajian berhubung dengan konsep kosmologi biasanya dimaksudkan dengan kejadian langit dan bumi serta cakrawala-cakrawala yang ada. Manakala juzuk-juzuk alam yang lain seperti manusia, binatang dan tumbuhan, kajian mengenainya dikenali dalam disiplin ilmu yang tersendiri seperti biologi dan botani.

Berhubung dengan kejadian alam semesta, tidak ada satu pandangan atau teori pun yang dapat memberi falta serenar. Ini disebabkan manusia jahil mengenainya dan manusia bukan pencipta kepada alam semesta. Allah Taala sebagai pencipta kepada alam semesta ini, keterangan-keterangan yang diwahyukanNya paling tepat dan sayugia dikaji bagi mengetahui rahsia-rahsia kejadian alam ciptaanNya.

Alam ini bermula dari tiada menjadi ada. Penerimaan akal yang menetapkan alam sedemikian tidak ada pertentangan dengan rasional yang menyatakan bahawa setiap benda yang wujud pasti ada permulaan dan ada yang mengadakannya. Tidak ada sesuatu apapun yang wujud dalam alam ini secara kebetulan, atau tidak dijadikan. ASPEC kebetulan dan tidak dijadikan bertentangan dengan rasional akal dan tidak boleh diterima oleh fikiran. Apabila akal menerima ketetapan bahawa alam ini terjadi daripada tiada kepada ada, ia mengundang para pengkaji menyelidik dan meneliti aspek-aspek berikut:

1. Apakah yang dikatakan Alam, atau Definasi Alam.
2. Tujuan penciptaan dan memahami alam.
3. Kejadian alam dan teori-teori mengenainya.
4. Kejadian alam menurut Quran.
5. Sifat serta lakuan alam.

DEFINASI ALAM

Ada berbagai pengertian yang dimaksudkan dengan alam:

Para Teologis mendefinasikan alam sebagai nama sesuatu yang dipaksikan kepada selain Allah kerana ia mengajar kita mengenal adanya pencipta.
( Nuruddin al-Sabuni, KitabAl-bidayah min Al-Kifayah fi Al-hidayah fi Usuluddin, Tahkik Fathullah Khalif, Dar’ al-Mu’arif, Mesir,1969, hlm. 34).

2. Para failasuf mendefinasikan alam sebagai kumpulan jawhar yang tersusun dari benda dan surah [bentuk] yang ada di langit dan di bumi. Alam juga dipakai dengan maksud dunia, iaitu merujuk kepada bumi dan segala yang ada padanya dan yang ada di langit [bumi, bintang-bintang, tenaga-tenaga yang ada dll]. Dalam istilah Inggerís disebut senagai Universe atau Cosmos. (Jamil Saliba, Al-Mu’jam al-Falsafi, Dar al-kitab al-Lubnani, Beirut, 1973, hlm 4)

Dalam Quran kekata alam di bawa dalam maksud jamak [plural] iaitu ‘alamin [dibaca dengan hufur ‘ayn dipanjangkan] dan memberi dua maksud:

Sekumpulan makhluk tuhan yang berakal. Atau dalam kata lain manusia.
Sekumpulan makhluk yang memiliki sifat-sifat yang mendekati makhluk yang berakal. Kerana itu dikenali istilah alam malaikat, alam jin dan tumbuhan. Tidak disebut sebaliknya alam batu batan dan alam tanah tanih.

QURAN DAN KOSMOS

Kata alamin dalam Quran tidak merujuk kepada kosmos atau ‘Universe’. Ayat-ayat berikut membenarkan kenyataan ini.:

“ Wahai Bani Isra’il, ingatlah akan nikmat-Ku yang telah Aku anugerahkan kepada kamu dan [ingatlah] bahawasanya Aku telah melebihkan kamu atas al-‘alamin”. [Surah Al-Baqarah ayat 47].
Kekata al-‘alamin dalam nas ini membawa maksud umat manusia. Jadi ayat ini bermaksud bahawa Allah s.w.t melebihkan Bani Isra’il dari umat manusia lain dengan nikmat yang banyak. Antaranya perutusan nabi-nabi yang paling ramai di kalangan mereka, hal ini tidak berlaku kepada umat lain. Keistimewaan ini tidak merujuk kepada individu dengan maksud menafikan seksa apabila mereka menyimpang daripada petunjuk nabi-nabi mereka.

“Sesungguhnya rumah Ibadan yang mula-mula dibangun untuk [tempat beribadat] manusia, ahíla Baitullah di Mekah yang diberkati dan menjadi petunjuk bagi al-‘alamin”. [surah Ali-Imran ayat 96]
Ertinya rumah Ibadah tersebut menjadi petunjuk bagi seluruh umat manusia.

“Dan kamu sekali-sekali tidak meminta upah kepada mereka [terhadap seruan ini], itu tidak lain hanyalah peringatan bagi al-‘alamin”, [Surah Yusuf, ayat 104]
Istilah dhikr lil al-‘alamin itu bermaksud peringatan bagi sekalian jin dan manusia.

Istilah alam semesta dpakai oleh Quran dengan ungkapan al-samawat wal-ard wa ma baynahuma [langit dan bumi segala isi diantara keduanya]. Dalam Surah Al- ma’idah ayat 17, Allah menyebut: “ wa lillahi mulkus samawati wal ardi wa ma baynahuma” [dan kepunyaan Allah sahaja kerajaan di langit dan di bumi serta segala apa yang ada diantara keduanya]. Dalam Surah Maryam ayat 65, Allah menyebut: “ rabbus samawatiwal ardi wa ma baynahuma fa’budhu” [Rabb langit dan bumi serta apa yang ada antara keduanya, maka sembahlah Dia].



TUJUAN PENCIPTAAN DAN DAN MEMAHAMI ALAM

Alam manusia, jin dan malaikat yang diciptakan untuk mengabdikan diri kepada Allah.

Alam binatang, tumbuhan dan jamadat serta lain-lain kejadian seperti cakrawala, udara, lautan dan seumpamanya adalah untuk berkhidmat kepada manusia dalam skop ubudiyyahnya kepada Allah taala. Alam semesta ini diibaratkan ‘kitab’ Manzurah [yang dapat dilihat dan direnungi]. Atau dengan kata lain ‘ayat-ayat Allah’ iaitu tanda-tanda kewujudan Allah yang dapat diperhatikan menerusi fenomena-fenomena alam yang berlaku padanya. Ayat-ayat Allah yang Manzurah ini sama pentingnya dengan ayat-ayat Allah yang Maqru’ah [Ayat-ayat Allah yang dibaca] di dalam wahyu Quran.

Kedua-dua ayat Allah yang maqru’ah [Quran] dan yang Mansura [alam semesta], saling lengkap-melengkapi. Ayat-ayat Allah dalam Quran merupakan kunci permulaan untuk memahami ayat-ayat Allah yang Manzurah [kitab alam]. Bahkan dalam ayat Quran maqru’ah terdapat tidak kurang dari 750 rangkai ayat yang menyebut secara tegas berhubung dengan fenomena alam semesta. Secara umumnya ayat-ayat tersebut berupa arahan supaya manusia memerhati, meneliti dan membuat renungan [nazar] terhadap segala kejadian itu bagi memperoleh kesedaran bahawa disebalik kejadian yang wujud itu terdapat zat Yang Maha Berkuasa.

Daripada kenyataan tersebut dapat ditegaskan beberapa perkara berhubung dengan tujuan memahami alam semesta:-

1. Wasilah Memahami Kebesaran Allah

Memahami alam semesta dapat menjelaskan dengan lebih terperinsi bahawa alam ini berfungsi sebagai wasila kepada seseorang untuk mengenal adanya pencipta Yang Maha Berkuasa. Ia sekaligus memperlihatkan kelemahan manusia sebagai makhluk Allah yang serba kekurangan. Sayyid Hossein Nasr menegaskan: “Pengkajian keatas alam tabii, yang dalamnya tujuan dan hikmat Ilahi terpancar, akan akhirnya membawa kita kepada ilmu kepada sumber segala kewujudan. Sejauh mana semua makhluk bergantung wujud kepada pencipta yang Wujud Semata, maka sejauh itulah semua ilmu Alam Tabii mengandung tujuan dan maksud bagi memahami zat semua benda dalam hubungannya dengan keasalan punca Ilahi. Zat segala semua adalah datangnya dan berwujud di dalam Wajud Wajib. Ibn Sina menulis di dalam hal ini “Tahukah anda siapa itu raja?. Raja yang sejati ialah Raja yang kaya raya secara mutlak dan tidak ada sesuatu yang boleh berlaku tanpa-Nya. Kepunyaan-Nyalah zat setiap sesuatu kerana Dialah sumbernya atau kerana ia berpunca daripada sesuatu yang berasal daripada-Nya. Setiap benda selain-Nya adalah milik-Nya dan Dia tidak memerlukan apa-apapun.”
(S.H. Nasr, Pengenalan Doktrin Kosmologi Islam, Terjemahan baharudin Ahmad, DBP, KL 1992, hlm 259).

2. Tiada Pertentangan Antara Quran dan Alam Semesta


Kefahaman terhadap alam semesta dapat menyedarkan seseorang bahawa adanya kesesuaian dan ketepatan antara ‘kitab’ alam dengan kitab Al-Quran, kerana keduanya datang dari sumber yang satu. Tiada sekali percanggahan antara keduanya. Contoh yang terdekat dalam masalah ini ialah Firaun yang mati tenggelam dalam laut merah dan mayatnya di damparkan ke pantai supaya generasi berikutnya mengetahui. “Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau [hai firaun] terlepas dengan badanmu [yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut], untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu [supaya mereka mengambil iktibar]. Dan [ingatlah] sesungguhnya kebanyakkan manusia lalai daripada [memerhati dan memikirkan] tanda-tanda kekuasaan kami”. Al-Quran Surah Yunus, ayat 92
Berdasarkan maklumat Quran itu, para penyelidik mengkaji keterangan Quran dan mempastikan Firaun yang mana satu tenggelam di laut. Mereka menemui mayat Firaun yang tubuhnya dipenuhi dengan garam dan bedah siasat yang dijalankan menunjukkan bahawa dia betul-betul mati tenggelam. Hasil dari penyelidikan itu diberi komentar oleh seorang pakar bedah terrenal daripada Perancis, Dr. Maurice Bucaille dengan katanya:

“ Alangkah agungnya contoh yang dikemukakan oleh ayat Quran berkenaan jasad Firaun yang Semarang berada di ruang mummy di Muzium Negara Mesir di Caerá. Penyelidikan dan penemuan moden menunjukkan kebenaran Quran”..
(Maurice Bucaille, Bible,Quran dan Sains Moden, terjemahan M. Rasjidi, Bulan Bintang, Yakarta 1978, hlm 278)

3. Memperolehi Keyakinan Bahawa Quran Adalah Wahyu

Mengkaji dan menyelidiki alam semesta, seseorang itu dapat meyakini dengan pasti kebenaran Quran sebagai wahyu Allah Taala. Fenomena-fenomena alam yang terjadi telah sedia disebut dalam Quran. Hal ini memberi kepastian bahawa adalah tidak mungkin Quran itu buatan manusia kerana manusia tidak mungkin mengetahui lantaran tidak memiliki ilmu pengetahuan tentangnya. Sejak 1400 tahun yang lampau Quran telah menyatakan secara umum adanya planet selain Bumi, Matahari, Bulan serta bintang-bintang yang disaksikan manusia. Hal ini terbukti dengan penemuan-penemuan baru dalam bidang astronomi. Sebelum ini manusia hanya mengenali planet Mercury, Venus, Mars, Júpiter dan Saturn. Kemudian ditemui berikutnya tiga planet lain Uranus, Neptun dan Pluto.

Pada November 1989 pakar astronomi menemui quasar yang jauhnya 14 million tahun cahaya dari bumi.[satu saat cahaya = 270,000 km. 1 tahun cahaya = 9,460,000,000,000 km]
Tiga Astronomer USA Dr. Susan M. Simkin, ketua bahagian astronomi Universiti Michigan, Jacqueline Van Gorkom dan John Hibbard dari pusat kajian bintang di Nacional Socorro New Mexico, serta seorang ahli astronomi China bernama Dr. Hong-Ju Su Nanking menerusi teleskop raksasa di New Mexico telah menemui galaksi raksasa yang diberi nama Markarian 348. Besar galaksi ialah 13 kali ganda galaksi Bimasakti dan jauhnya dari bum 300 juta tahun cahaya. Garispusatnya 1.3 juta tahun cahaya dan panjangnya dari hujung ke hujung 12,350,000,000 milion km. Sesudah itu ditemukan pula sebuah galaksi lagi yang dianggap paling besar yang diberi nama ‘The Great Attractor’. Galaksi ini ditemui oleh Dr. Alan Dressler dari Carnegie Institut Washington dan jauhnya dari bumi ke galaksi ini memakan masa 150 juta tahun cahaya.

Galaksi Sombrero –jaraknya dari bumi ialah 28 million tahun cahaya.
Berdasarkan ayat Quran Surah al-Sajdah ayat 4 yang menyebut; “Allah, tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada diantara keduanya dalam enam masa”. Ayat juga menegaskan penciptaan selain langit dan bumi, iaitu sesuatu yang ada dianta keduanya”. Penemuan-penemuan baru itu memberi keyakinan benarnya ungkapa Quran yang menyebut selain Allah menciptakan langit dan bumi Dia juga ada mencipta “segala yang ada diantara keduanya”. Hal ini terbukti dengan penemuan tersebut.

4. Mempertingkatkan Keimanan kepada Allah

Mengkaji alam semesta dapat mempertingkatkan keimanan seseorang kepada Allah yang menciptakannya. Perkara ini berlaku apabila aspek-aspek alam itu dikaji dan dibuat rumusan, seseorang itu akan sampai ke peringkat mengiktiraf kewujudan Tuhan dan ciptaannya. Ujar afazlur Rahman dalam hubungan ini:

“ Cosmology is the starting point of all sciences in Islam and it deals with the creation of the wonderful world of god, Who is one, both transcendent and immanent. There is no deity but one God, and Muhammad is the Mesengger of God. The doctrine is the central theme of all scientific knowledge, because, “All the cosmos was created by One God and, inspite of it’s vastness and hierarche structure, reflects the Unity of God’.
[ Afzalur Rahman, Quranic Sciences, The Muslim School Trusts London, London, 1981, pg.41]


Bilakah Alam Ini Bermula?

Mengetahi masa bilakah bermulanya alam semesta ini bermakna percubaan untuk memperolehi maklumat mengenai berapa tahunkah umur alam semesta. Ertinya Sejak bila ia mula tercipta?. Manusia pastinya tidak mampu memberi jawapan yang tepat berhubung dengannya. Hal ini disebabkan alam semesta ini wujud lebih dahulu dari kewujudan manusia sementara manusia pula sama sekali tidak mencipta alam semesta. Manusia dan cakrawala ini adalah makhluk semata di sisi Allah Taala. Bagaimanapun mereka membuat kajian dari masa ke semasa untuk mendapatkan jawapan yang memuaskan.

New Straits Times, jumaat 20 Jun 1993, dalam ruangan ‘World News’ menyiarkan satu berita berkenaan perkara ini berjudul “Measuring the Universe Age”. Menurut berita tersebut pakar-pakar Astronomi yang bekerja dengan Agensi Hubble Space Telescope di Amerika Syarikat, telah membuat kajian selama 2 tahun, mendapati umur alam semesta ini antara 15 hingga 20 billion tahun. Anggaran ini menurut mereka lagi adalah bersifat semasa [current estimates]. Bagaimanapun terdapat banyak teori mengenai umur alam semesta ini bila diukur dengan masa kemunculannya.... bersambung

Thursday, October 9, 2008

Construct the Anti-Vibration Plinth

Anti Vibration Plinth

Proposed design

Objective:
To reduce the effect of vibration that will affected the MSB caused by Hammer mill machine.









Piling using ‘Bakau’ trunk






Positioning the threaded stud
(View at site)








Concrete filling






Finishing – cut the excessive pad

Wednesday, October 8, 2008

Pembaharuan Dalam Penemuan Minda






Pernahkah anda tertanya-tanya apa yang berlaku dalam minda orang-orang yang tiba-tiba bertukar dari seorang yang biasa kepada seorang yang begitu berjaya?


Saya telah menjumpai satu jawapan yang mudah iaitu:-

KITA MEMPUNYAI 12 BILLION SEL-SEL OTAK
Pakar psikologi telah melakar gambaran sel-sel ini sebagai satu bentuk yang menyamai seperti buah pear dan ianya tersusun di dalam kumpulan-kumpulan seperti segugusan buah anggur. Sebelum kita dilahirkan, tidak ada satu sel pun 'jaga' ataupun berkembang. Semua tidur seperti putik putik bunga yang belum berkembang.

Tetapi sebaik saja kita dilahirkan, beberapa sel yang tertentu sahaja yang 'jaga', Sel-sel ini tidak 'terjaga' pada masa yang sama atau dalam kelajuan yang sama. Sel-sel yang mengawal pernafasan, menangis, makan dan sebagainya akan 'terjaga' terlebih dahulu. Selepas itu sel-sel yang mengawal berjalan, membezakan dan sebagainya turut 'terjaga'. Dan diikuti oleh sel-sel yang lain, sesetengahnya bila kita berumur 5 tahun, sel-sel selebihnya pula pada masa kita berumur 10,20,30,40 dan mungkin lebih dari itu. Pakar-pakar psikologi mengatakan, "Bandingkan apa akan jadi pada kita, jika kita hanya separuh jaga." Kita hanya menngunakan sebahagian kecil dari minda kita. Sebaliknya terdapat sesuatu dalam diri kita iaitu satu 'kuasa' yang mana tidak pernah kita ketahui dan tidak pernah menggunakannya.

KITA MESTI MENGEJUTKAN KEUPAYAAN/BAKAT TERTINGGI DI SEL-SEL OTAK KITA

Kebanyakan dari sel-sel otak yang menguasai 'bakat tertinggi' dalam diri kita, tidak akan jaga dengan sendiri tetapi ia akan 'tidur' dan akan mati bersama-sama kita, sekiranya pengalaman emosi tidak tidak mengejutkan mereka dan mengembangkannya. Kadangkala pengalaman emosi ini akan tersentuh apabila kita membaca atau mendengar cerita-cerita kejayaan mereka yang terkemuka dan berjaya dimana ia akan membuatkan kita sedar mengenai sesuatu iaitu 'usaha'. Kadangkala ia juga boleh memberikan tindakbalas yang lama, contohnya apabila kita membaca buku, mendengar syarahan, melayari web, ketakutan atau atau mungkin pengalaman emosi yang lain yang akan bertindak seakan-akan satu jam loceng. Menyedarkan kita dan menggerakkan kita.

Tetapi yang paling berharga yang dapat menjenguk ke dalam kehidupan seseorang ialah apabila kejutan itu datang dari sesuatu seperti puisi, kata-kata hikmat, suatu pengalaman, seseorang yang kita kagumi, sesuatu kejadian yang menemukan seseorang itu kepada kuasa dalaman yang tidak pernah di ketahuinya. Benjamin Franklin mula menjadi orang terkemuka apabila ia mula menghayati kata-kata hikmat (proverb), "Dia yang membuat anda marah, menguasai anda" (He who angers you, conquers you), mengubah keseluruhan kehidupannya. Setiap orang hanyalah satu raksasa besar yang hidup sehinggalah sesuatu mengejutkan kuasa dalamannya.. iaitu sel-sel yang tidak aktif, tidak 'jaga' semenjak kelahirannya.
PENEMUAN YANG MENYEDIHKAN DALAM HIDUP

Salah satu penemuan yang paling menyedihkan dalam hidup ialah apabila ‘terjaga’ lewat dalam hidup kita dan menyedari bahawa kita hanya menggunakan sebahagian kecil dari bakat yang ada. Lebih menyedihkan apabila didapati kita mempunyai bakat yang lebih besar dari yang kita sangkakan. Pada waktu itulah kita sedar yang kita telah membiarkan begitu sahaja peluang untuk membajai ‘akar’ kejayaan yang memang telah sediada, satu perkara yang sepuluh kali lebih bermakna dari sekadar belajar sahaja. Kita masih lagi belum belajar di peringkat awal kehidupan kita mengenai cara-cara mencapai kejayaan seperti yang telah dilakukan oleh mereka yang terkemuka.

Elbert Habbard berkata, “Belajar dari mereka yang terkemuka dan cemerlang adalah seperti menuju kejayaan dengan menumpang bahu raksasa yang besar”

Dr. Conwell (Perintis University Temple US) .. Satu hari ketika beliau sedang menyediakan syarahan, dia menemui 2 faktor yang ‘mengejutkan’ lebih dari 12 billion sel-sel otak beliau. Salah satu darinya adalah MENETAPKAN MATLAMAT dan yang satu lagi adalah KEINGINAN. Beliau memanggil faktor ini sebagai ‘Pertumbuhan Minda’ kerana ia mengembangkan kuasa minda dengan mengejutkan lebih dari 12 billion sel-sel otak kita.

Lantaran itu, beliau teru menggunakannya untuk menyediakan syarahannya. Dan beliau menamakan “ACRES OF DIAMOND”. Syarahan ini menjadi syarahannya yang paling terkenal yang pernah dilakukan olehnya. Beliau menyampaikannya sebanyak 6000 kali. Dengan pendapatan dan keuntungan dari syarahan-syarahan itulah beliau menubuhkan Universit Temple.
Syarahan itu menceritakan mengenai seorang petani yang berjaya, Ali Hafed yang telah mendengar cerita bagaimana seseorang telah menjadi kaya-raya dengan penemuan berlian. Dia menjual ladangnya dan memulakan perjalanannya untuk mencari berlian. Malangnya dia tidak menemui sebarang berlian dan beliau mati dalam kemiskinan.
Orang membeli ladangnya telah menemui ‘berekar-ekar berlian’ di belakang rumah tersebut. Ladang tersebut menjadi lombong berlian Golconda yang terbesar di dunia.

Saya tidak menceritakan kepada anda bahawa terdapat berlian di belakang rumah anda, tetapi mengenai berlian yang lain – berekar-ekar berlian – 12 billion sel-sel otak anda
Satu lagi syarahan dari Dr. Conwell, Ianya menakjubkan, “Untuk menang,.. MULAKAN. Semua kemenangan bermula dengan satu permulaan. Jadi apabila anda memulakan sesuatu, hamper separuh dari apa yang anda ingin lakukan telahpun siap. Permulaan – mengambil langkah pertama, menggerakkan momentum, tenaga emosi, keinginan dalaman adalah merupakan motivasi anda untuk melakukan langkah-langkah seterusnya. Memulakan sesuatu – terdapat genius, kuasa dan sesuatu yang ajaib di dalamnya. Mulakan langkah pertama dan minda akan berkembang dan mula ‘panas’.